mutakhir

Amirah dah tiada...

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

GRADUAN Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Amirah Mohd Zahari, 25, yang menerima segulung ijazah di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada Disember lalu menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya pada jam 6.20 petang tadi.

Amirah yang menghidap penyakit gangguan saraf menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Pasir Badak, Ketereh di Kota Bharu tidak sampai sebulan selepas keluar dari Wad 3 Utara hospital itu 13 Disember lalu.

Abang ipar Allahyarham, Mohd Izwan Syukri, 32, keadaan Amirah yang menjadi semakin lemah dari hari ke hari selepas dibenarkan keluar hospital pada bulan lalu.

” Di rumah arwah dilihat hilang selera makan dan hanya terbaring lesu di atas katil tanpa upaya.

“Saya tidak dapat menahan sedih melihat keadaan diri arwah seperti itu dan tidak ceria seperti kebiasaannya.

“Dalam keluarga, arwah juga menjadi harapan ibu dan ayah kerana dalam kalangan lapan adik beradiknya, hanya dia seorang sahaja berjaya menjejakkan kaki ke universiti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Izwan berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan kisah Amirah yang diraikan dalam majlis mini konvokesyen yang diadakan di Wad 3 Utara HUSM selepas terlantar lebih sebulan disebabkan penyakit gangguan saraf yang dideritai sejak Jun tahun lalu.

Dalam majlis yang serba ringkas itu, arwah yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan (Sastera) menerima ijazah di atas katil hospital yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar sambil disaksikan ibu bapanya, Mohd. Zahari Saat, 64 dan Noriah Mamat, 55, serta pasukan perubatan yang merawatnya.

Penyakit saraf yang dihidapi arwah menyebabkan dia mengalami gangguan saraf sehingga menjejaskan pergerakan, percakapan dan penglihatannya sekali gus memaksa arwah untuk melupakan hasratnya untuk menyertai Istiadat Konvokesyen UMK yang sepatutnya berlangsung pada pertengahan Oktober tahun lalu.

Tamat.

From: Muhamaad

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 11:04pm
d