mutakhir

Selamat dalam kejadian ribut

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“KAK tak boleh buat apa-apa cuma mampu tengok saja bumbung diterbangkan angin,” kata Faridah Tajuddin, 44, seorang daripada mangsa ribut di Pusat Pemindahan Masyarakat Setempat (PPMS), Lembah Beriah dekat Bukit Merah di sini.

Kediaman Faridah yang juga orang kelainan upaya (OKU) rosak teruk selepas sebahagian besar atap rumah diterbangkan angin dalam ribut yang melanda kawasan itu kira-kira jam 4.30 petang hari ini.

Dia yang terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda bagaimanapun bersyukur kerana tidak ada perkara tidak diingini berlaku terhadap dirinya ketika kejadian.

“Ketika kejadian saya sedang memangku anak kecil di atas kerusi roda manakala suami Mohd Sazali Mohamed, 47, bersama seorang lagi anak sedang berehat di dalam rumah.

“Tiba-tiba bumbung utama rumah rumah seakan terapung dan hilang dibawa angin kuat, tidak ada apa yang saya mampu lakukan, hanya tergamam melihat bumbung rumah hilang,” katanya yang ditemui pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai PPMS Batu 6, Lembah Beriah di sini.

Seorang lagi mangsa, Pahmi Abdullah Shaari, 56, berkata, dia dan tujuh ahli keluarga termasuk dua cucu yang berteduh di rumah ketika kejadian, berteriakan dan hanya mampu mengucap panjang apabila melihat keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin.

Katanya, kejadian itu adalah yang ketiga sejak tinggal di rumah berkenaan lebih 20 tahun lalu.

Dalam kejadian itu, sebanyak 10 buah rumah penduduk termasuk sebuah surau rosak dengan empat daripadanya mengalami kerosakan teruk.

Kejadian ribut itu turut mengakibatkan lima keluarga yang terdiri daripada 36 mangsa terpaksa dipindahkan ke dewan orang ramai di sini apabila kediaman mereka tidak dapat didiami selain keadaan hujan yang masih melanda kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 11:05pm
d