mutakhir

[UPDATE] 'Apa tunggu lagi, turun, turun, turun...'

Oleh Fahmy Azril Rosli

HAMPIR 20 petugas media pulang hampa selepas dihalau beberapa pegawai Parlimen kerana tidak membenarkan untuk mendapatkan reaksi Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa.

Petugas media yang ‘setia’ menunggu di luar Kamar Khas, tempat Yamani Hafez yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah, tiba-tiba didekati seorang pegawai terbabit yang meminta wartawan dan jurukamera beredar.

Pegawai itu meminta petugas media beredar berikutan Ahli Parlimen Sipitang berkenaan tidak mahu diganggu dengan sebarang soalan.

Bagaimanapun, petugas media tetap berada di luar Kamar Khas, menunggu kelibat Yamani Hafez.

Selepas itu, seorang polis bantuan datang lalu tiba-tiba mengherdik ‘apa tunggu lagi, turun turun turun’ kepada petugas media yang menunggu untuk mendapatkan maklum balas Yamani Hafez yang dikatakan hilang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Keadaan di perkarangan Kamar Khas dan bilik makan kelihatan ‘dikawal ketat’ beberapa pegawai dan polis bantuan Parlimen untuk menghalang petugas media menghampiri Yamani Hafez.

Apa yang berlaku membuatkan petugas media tidak berpuas hati dengan layanan berkenaan sedangkan mereka mendapat jemputan oleh Parlimen untuk membuat liputan.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah berkata, pihaknya tidak memberi sebarang arahan kepada pegawainya untuk meminta petugas media beredar.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada petugas media di atas apa yang berlaku.

Tambahan pula, tiada seorang pun pegawai kepada Yamani Hafez tidak bertemu dengan petugas media untuk memaklumkan bahawa ‘bosnya’ tidak mahu diganggu.

Akibat itu, petugas media turun dan terus menunggu Yamani Hafiz di kawasan lobi selain menanti di pintu masuk Parlimen.

Selepas hampir 45 minit menunggu, difahamkan Yamani Hafez secara senyap-senyap beredar menggunakan pintu belakang.

Berita berkaitan

Akhirnya...

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 12:50pm
d