mutakhir

Anggota polis maut nahas langgar lari

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SEORANG anggota Balai Polis Seri Manjung maut, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan langgar lari di Kilometer 3, Jalan Sitiawan-Ayer Tawar berhampiran Taman Nesa, Sitiawan, semalam.

Dalam kejadian jam 9.05 malam, mangsa Koperal G Kumaran, 34, yang menunggang Yamaha RXZ maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Manakala, seorang lagi lelaki berusia 41 tahun yang yang menunggang motosikal Honda EX5 patah bahu kiri serta luka pada muka dan tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang kedua-dua mangsa dari arah Ayer Tawar menghala ke Sitiawan.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti datang dari arah bertentangan dipercayai masuk ke laluan kedua-dua motosikal itu.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, kedua-dua motosikal terbabit tidak sempat mengelak lalu dilanggar kenderaan berkenaan yang kemudian dipercayai melarikan diri selepas kejadian.

“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal Yamaha RXZ yang juga anggota di Balai Polis Seri Manjung parah, dan kemudian disahkan meninggal dunia tempat kejadian.

“Seorang lagi penunggang motosikal pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, pihaknya masih menyiasat bagi mengenal pasti jenis kenderaan yang merempuh mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, saksi yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Siti Nur Athira Ramlan di talian 018-9702345 untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 1:00pm
d