mutakhir

Undi rahsia pilih Agong

Oleh Mohd Nasif Badruddin

PERSOALAN siapa bakal menggantikan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau mengikut penggiliran seperti pusingan pertama dulu.

Sebaliknya, ia bergantung kepada keputusan undi rahsia Majlis Raja-Raja (MRR) dan persetujuan Sultan yang dipilih.

Pakar Perlembagaan Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, pada pusingan pertama dulu, sistem penggiliran dibuat berdasarkan kekananan (senioriti), umur dan tempoh Sultan memegang jawatan di negeri asal sebelum dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pada pusingan kedua pula, enam Sultan yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong mengikut urutan pusingan pertama seperti dipersetujui MRR setakat ini.

“Begitupun daripada segi Perlembagaan, ia tidak mengikat MRR untuk mengikut urutan seperti pusingan pertama, sebab itu adanya undi rahsia dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong.

“Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ini juga berdasarkan kepada beberapa perkara lain seperti kemampuan melaksanakan tanggungjawab dan sebagainya yang akan diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengikut sistem penggiliran, Sultan negeri seterusnya yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah Pahang, namun baginda kini dilaporkan gering dan takhta dipangku anakandanya sebagai Pemangku Raja Pahang.

Bagaimanapun, Seksyen 1 Bahagian I Jadual Ketiga Perlembagaan menyebut syarat seseorang Raja akan dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ialah dewasa, tidak menolak untuk dipilih selain tidak ditolak MRR.

Setakat ini, hanya tiga negeri yang belum melengkapi giliran Yang di-Pertuan Agong bagi pusingan kedua iaitu Pahang, Johor dan Perak.

Jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula kini disandang oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang baru saja menamatkan tugas sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong pada 31 Disember lalu.

Dr Muhammad Fathi yang juga Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan di Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknlogi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya boleh dilantik terus sebagai Yang di-Pertuan Agong walaupun pernah memangku tugas itu sebelum ini.

“MRR akan bersidang dan menentukan Sultan dari negeri mana yang akan dipilih serta dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan
  • Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 3:11pm
    d