mutakhir

Tragedi roboh rumah [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

LELAKI maut manakala seorang lagi cedera selepas dihempap runtuhan dinding konkrit rumah yang sedang dirobohkan di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, kira-kira jam 3.10 petang hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Chiam Meng Kuang, 64, maut di tempat kejadian, manakala rakan sekerjanya berusia 40-an dihantar untuk rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda Pegawai Bomba Kanan II Shaikh Abdul Halim Shaikh Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.17 petang dan sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa masih tersepit di bawah runtuhan dinding konkrit.

“Dinding konkrit berkeluasan sembilan meter itu runtuh, dan mangsa yang tersepit tidak sedarkan diri sebelum berjaya dikeluarkan, manakala rakannya mengalami cedera ringan di kepala.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dan mayat dihantar ke HBM untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, kejadian berlaku ketika operasi meroboh dilakukan di Taman Sri Rambai bagi tujuan projek tebatan banjir yang bermula sejak minggu lalu.

“Pemilik kediaman memohon untuk merobohkan sendiri kediamannya sehingga berlaku kemalangan ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 5:05pm
d