mutakhir

Dua maut kereta bertembung pikap

Oleh Mohd Roji Kawi

DUA maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan kereta Proton Waja dan pikap jenis Mitsubishi Triton di simpang Batu Lintang, Sri Aman, tengah hari ini.

Mangsa yang memandu kereta Proton Waja, Patrick Tumba Migik, 49, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpangnya, Alexander Jantom, 27, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sri Aman.

Dua lagi penumpang kereta berkenaan, Romauldo Rayung Robert, 20 dan Louis Costner Endang Julius Mamba, 23 serta pemandu pikap Liak Jin Soon, 47 dan penumpangnya, David Ng Sen Gan, 40, pula cedera parah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Waja dari arah Betong ke Sri Aman bertembung dengan pikap dari arah bertentangan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.40 tengah hari dan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi didapati seorang penumpang kereta Proton Waja tersepit di tempat duduk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bomba menggunakan peralatan “rescue tool ” bagi mengeluarkan mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala lima yang lain termasuk dua lelaki dari kenderaan Mitsubishi Triton yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sri Aman dengan menggunakan Jentera EMRS dan ambulans APM,” katanya.

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 8:03pm
d