mutakhir

Ikut tradisi kini giliran Pahang

Oleh Muhammad Apendy Issahak

MENGIKUT tradisi giliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan adalah Pahang diikuti Johor dan Perak, namun keputusan pemilihannya akan dibuat oleh Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun, timbul pelbagai pandangan mengenai pemilihan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 sama ada akan mengikut giliran tradisi atau sebaliknya.

Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, ada pandangan berpendapat Majlis Raja-Raja berkemungkinan mengenepikan giliran tradisi itu dengan memilih sama ada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar atau Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah susulan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sedang gering.

“Namun jika pemilihan ini bukan secepat mungkin, maka masih ada masa lagi jika Pahang melantik Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebagai Sultan dan Tengku Abdullah juga sudah lama memangku jawatan Sultan.

“Maknanya masih ada masa membuat penyusunan agar giliran tradisi dikekalkan dan Pahang tidak hilang hak untuk jawatan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak berkata, sistem monarki mempunyai keunikan tersendiri dengan setiap sultan mempunyai pewaris takhta sama ada Tengku Mahkota atau Raja Muda.

Seterusnya, ada waris takhta yang mana jika ketiadaan pemerintah sudah ada waris yang akan menggantikannya.

“Bila mula berlakunya tidak mengikut giliran (tradisi) nanti bagaimana untuk giliran akan datang.

“Maksudnya, perkara ini (kekal giliran tradisi) boleh diatur namun perlukan masa mungkin tiga hari, mungkin seminggu, namun tidaklah terlalu lama saya rasa.

“Bagaimanapun kita harus terima hakikat Perlembagaan negara menetapkan keputusan adalah di tangan Majlis Raja-Raja bagi memilih siapa sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menurutnya, pandangan pelbagai pihak itu adalah dari segi pengamatan dan tradisi apa yang dipraktikkan selama ini.

Beliau juga berpendapat adalah salah mengatakan pihak yang memberi pandangan itu sebagai mendahului keputusan Majlis Raja-Raja kerana ini adalah demokrasi yang mana semua pihak berhak menyatakan pandangan.

“Rakyat juga mempunyai hak untuk mendapat penerangan mengenai isu ini dan terpulang kepada mereka juga untuk menerima pandangan mana yang mereka fikirkan sesuai dengan sistem monarki itu sendiri,” katanya.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 9:32pm
d