mutakhir

Tembak lantai tanda amaran

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PEMILIK kedai runcit berdepan detik cemas selepas disamun dua penjenayah bersenjatakan pistol di Jalan Desa Kundang 2, Rawang, hari ini.

Dalam kejadian 4.50 petang itu, dua penjenayah berkenaan melepaskan satu das tembakan ke bahagian lantai kedai terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dua suspek berkenaan memakai topeng dan masuk ke kedai berkenaan sebelum melepaskan tembakan amaran.

“Suspek kemudian merampas wang RM2,600 dari kaunter terbabit sebelum melarikan diri menggunakan kereta Perodua Myvi.

“Semakan ke atas nombor pendaftaran kenderaan terbabit mendapati ia palsu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Samsor berkata, pihaknya kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes berkenaan kini giat dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 9:54pm
d