mutakhir

[UPDATE] Abd Wahab boleh pulang sementara...

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

RAKYAT Malaysia yang terkandas di Krabi, Thailand, selepas terbabit kemalangan, Abd Wahab Yahaya, 56 dibenarkan pulang sementara ke Malaysia oleh Mahkamah Krabi.

Anaknya, Hasanah Abd Wahab, 34, berkata, permohonan ayahnya untuk pulang sementara ke Malaysia diluluskan selepas mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia.

“Ayah dibenarkan pulang kerana faktor kesihatan dan perlu menerima rawatan susulan yang diperlukan di Malaysia.

“Bagaimanapun ayah perlu kembali ke Krabi untuk perbicaraan yang masih belum ditetapkan oleh pihak mahkamah Krabi,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Hasanah berkata, kes berhubung kemalangan ayahnya masih belum selesai dan geran tanah milik Haji Ismail masih berada bersama pihak mahkamah sehingga kes selesai.

“Ayah akan pulang ke Malaysia pada 10 Januari ini dan pulang semula ke Krabi selepas selesai menerima rawatan,” katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan Abd Wahab terkandas di Krabi, Thailand selepas motosikal ditunggangnya bersama isteri terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang pejalan kaki warga Thailand maut ketika bercuti di pusat peranginan berkenaan.

Akibat kemalangan itu, beliau cedera di bahagian mulut dan perlu menjalani pembedahan untuk membuka jahitan dan skru di tulang pipinya, manakala isterinya mengalami gegaran kecil di kepala.

Malah, keluarga mangsa menuntut pampasan berjumlah RM200,000 sebagai ganti rugi atas kemalangan itu.

Abd Wahab perlu menghadapi proses perbicaraan di mahkamah dan berdepan kesukaran untuk meninggalkan negara jiran itu.

Berita berkaitan

'Warga Thailand berhati mulia'

'Jumlah kutipan cecah RM60,000'

'Bapa masih di hospital, tunggu perbicaraan'

''Tolong kami cari RM200,000...'

Disiarkan pada: January 7, 2019 @ 11:17pm
d