mutakhir

'Ikut proses biasa' [METROTV]

Oleh BERNAMA

Seremban: Pembelian kereta baharu untuk kegunaan rasmi Menteri Besar dan beberapa anggota pentadbiran negeri tidak menjadi isu kerana ia diluluskan kerajaan negeri sebelum ini.

Menteri Besar, Aminuddin Harun menjelaskan pembelian kereta baharu Honda Accord untuk kegunaan rasmi Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Speaker dan Timbalan Speaker, Pegawai Kewangan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Mufti Kerajaan Negeri serta 10 anggota Exco yang keseluruhannya membabitkan kos lebih RM2 juta, adalah proses biasa dan tiada isu.

Katanya, pembelian mengikut proses biasa iaitu kereta lama yang berusia lima tahun boleh digantikan dengan kereta baharu.

“Proses pembelian kereta baharu berlaku ketika kita mula mengambi alih kerajaan negeri, bukan kita luluskan, kerajaan negeri (mesyuarat Exco kerajaan negeri lalu) yang luluskan pembelian kereta baharu ini.

“Apabila saya ambil alih jawatan Menteri Besar selepas kerajaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, saya dimaklumkan kerajaan negeri teruskan rancangan pembelian kereta baharu selepas diluluskan kerajaan negeri sebelum itu.

“Jadi, saya tidak tahu mengenai pembelian kereta baharu ini,” katanya selepas majlis perhimpunan pentadbiran kerajaan negeri di Wisma Negeri, semalam.

Katanya, kereta lama itu ditawarkan kepada bekas Exco kerajaan negeri lama untuk membelinya sebelum dihapus kira.

“Kerajaan negeri dulu yang tempah kereta baharu secara tender dan ia sampai pada September 2018. Pembelian itu mengikut proses biasa dan tiada isu pun,” katanya.

Mengulas kes beberapa anjing mati dipercayai diracun di taman perumahan, dekat sini yang tular di media sosial sejak Sabtu lalu, beliau berkata, masalah anjing liar yang berkeliaran di bandar ini dan kawasan perumahan adalah tinggi serta perlu ditangani pihak penguat kuasa dengan cermat dan berperikemanusiaan.

“Saya minta pihak penguat kuasa mengambil tindakan atas aduan (gangguan dan ancaman anjing liar) diterima. Manakala apa juga haiwan termasuk anjing yang ingin ‘dilupuskan’ harus mengikut prosedur diterima oleh amalan antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 10:22am
d