mutakhir

Bekas ADUN Gunung Semanggol meninggal dunia [METROTV]

Oleh Shaarani Ismail

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol dari PAS, Mohd Zawawi Abu Hassan, 42, meninggal dunia di Hospital Taiping (HT) 6.02 pagi hari ini selepas dimasukkan ke hospital berkenaan petang semalam kerana kritikal.

Mohd Zawawi yang mengalami tekanan darah tinggi melebihi 200, sebelum ini dilaporkan terjatuh di bilik air di rumahnya di Kampung Tebuk Panchur pada 13 Februari tahun lalu, pernah mendapatkan rawatan di hospital sama sebelum dirujuk Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Adiknya, Mohd Nor Hafiz, 30, berkata, abangnya meninggal dunia di sisi isteri, Maizul Rosmawati Meor Ibrahim, 41.

"Abang dikejarkan ke Hospital Taiping 6 petang semalam selepas keadaannya kritikal kerana diserang kancing gigi. Doktor yang merawatnya malam tadi memberitahu keluarga bahawa abang mengalami kecederaan pada bahagian otak kiri.

"Dia sebelum ini mengalami kecederaan pada bahagian otak kanan ketika terjatuh tahun lalu dan kini ia mula merebak ke bahagian otak kiri.

"Sekitar 5 pagi tadi, doktor memanggil waris untuk segera datang ke hospital kerana keadaan abang dilaporkan kritikal," katanya ketika dihubungi.

Mohd Nor Hafiz berkata, keadaan abangnya selepas jatuh kerana tekanan darah tinggi tahun lalu tidak pulih sepenuhnya kerana selepas kejadian itu percakapannya menjadi tidak teratur dan perlu dibantu.

Bagaimanapun katanya, sejak November lalu, keadaan abangnya menunjukkan perubahan yang positif selepas memberikan respon yang baik termasuk semakin boleh bercakap dengan teratur sebelum keadaannya kembali kritikal semalam.

Beliau berkata, jenazah abangnya tiba di kediamannya di Tebuk Panchor dari HT 8.45 pagi tadi dan dijangka akan disembahyangkan di Masjid Tebuk Panchor dan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebuk Panchor.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berusia antara 8 dan 16 tahun.

Jawatan terakhir Mohd Zawawi dalam PAS adalah Setiausaha Perhubungan PAS Perak dan Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Serai dan beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Pemuda PAS negeri.

Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan majoriti 1,405 undi dalam pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) dan BEBAS.

Bagaimanapun Mohd Zawawi tidak dicalonkan semula mempertahankan kerusi DUN Gunung Semanggol pada PRU-14 yang lalu berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, bagaimanapun PAS berjaya mengekalkan kerusi tradisi itu selepas meletakkan Razman Zakaria yang juga Pesuruhjaya PAS Perak bertanding di kerusi berkenaan.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS negeri menyifatkan pemergian Mohd Zawawi sebagai kehilangan besar dalam PAS.

Ketuanya, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, Mohd Zawawi disifatkan sebagai abang yang sangat penyayang dan prihatin malah ketegasan dan cara didikan yang dibawa Allahyarham ketika memimpin Dewan Pemuda PAS Perak menjadi inspirasi.

"Kehilangan beliau tiada galang gantinya, sungguh kami menjadi saksi perjuangan yang dibawa. Semoga Allah mengampunkan segala dosa dan menempatkan rohnya bersama insan yang beriman dan beramal soleh," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 11:16am
d