mutakhir

Iman semakin okey...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“ANAK saya sudah mula menampakkan perubahan termasuk mampu memberi tindak balas dan menggerakkan kaki serta tangannya,” kata Rabiatul Hadawiyah Abdullah, 25.

Rabiatul adalah ibu kepada Muhammad Iman Mikael Al Hafiz, 15 bulan, yang kini terlantar selepas tertelan air dan hampir lemas sebulan lalu.

Suri rumah itu berkata, Muhammad Iman kini, perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dan keluarganya memerlukan bantuan bagi membayar kos ulang alik dan bayaran bil.

“Jika sebelum ini dia (Muhammad Iman) hanya terbaring sahaja, tetapi semalam anak saya mula menunjukkan sedikit perubahan dan mengangkat tangan serta kakinya perlahan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro yang memaparkan kisah anak saya sehingga mendapat perhatian orang ramai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jitra, hari ini.

Terdahulu, nasib yang menimpa keluarga itu mendapat simpati Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang turut menghulurkan sumbangan peribadi yang disampaikan Pegawai Khasnya, Hassanudin Samsuddin.

Beliau turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian termasuk lampin pakai buang, susu tepung dan makanan bayi yang disumbangkan, Pengarah Urusan I Mumtaz Event Management, Rohayati Ayob.

NSTP semalam melaporkan Muhammad Iman tidak dapat bergerak dan hanya terlantar atas tilam akibat terjatuh ke dalam baldi berisi air pada 27 November lalu, di rumah mereka di Kampung Baru, Ulu Bernam Perak.

Berikutan itu, mangsa dirawat di Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh selama 19 hari selepas dipindahkan dari Hospital Tanjung Malim disebabkan keadaannya yang lemah dan otaknya tidak dapat berfungsi dengan baik.

Mereka kemudian berpindah ke Kampung Pulau Timbul, di Jitra, selepas suaminya, Al Hafiz Aziz, 27, mengambil keputusan pulang ke kampung.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Rabiatul Hadawiyah 108150069516 atau menghubunginya di talian 017-4829855.

Berita berkaitan

Bayi tertelan air kini terlantar [METROTV]

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 2:33pm
d