mutakhir

Bayi IVF ke-100 di HSNZ

Oleh Fitri Nizam

PENANTIAN lapan tahun sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata sehingga berhabis hampir RM20,000 berakhir apabila dikurniakan bayi kembar hasil kaedah Persenyawaan In-Vitro (IVF) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, Ahad lalu.

Kelahiran sepasang bayi kembar Zairi Anuar Zakaria, 36, dan isteri, Nurfidiamil Rozali, 35, jam 11.28 pagi itu juga melakar sejarah buat warga Unit Perawatan Reproduktif HSNZ apabila menjadi bayi ke-100 yang berjaya dilahirkan menerusi kaedah IVF.

Nurfidiamil yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir berkata, dia dan suami memang merancang untuk memperoleh cahaya mata sebaik melangsungkan perkahwinan pada 2011.

Bagaimanapun katanya, ketentuan Ilahi untuk menguji kesabarannya dan pasangan mengatasi segala perancangan mereka.

“Pada tahun pertama perkahwinan kami sudah merancang untuk mendapatkan zuriat secepat mungkin, namun ketika itu kami tinggal berjauhan kerana kerja. Tahun seterusnya apabila sudah tinggal sebumbung kami masih tak ada rezeki.

“Justeru, kami mengambil keputusan mencuba pelbagai kaedah termasuk cara tradisional dan merujuk kepada klinik swasta sehingga berhabis hampir RM20,000, namun belum mendapat rezeki anak.

“Pada 2014, saya merujuk masalah dihadapi ke HSNZ dan doktor menyarankan kami mencuba kaedah Intrauterine Insemination (IUI).

“Namun, selepas empat kali menjalani prosedur berkenaan ia masih gagal,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Bayi IVF ke-100, di Kuala Terengganu, hari ini.

Nurfidiamil berkata, doktor kemudiannya mencadangkan mereka menjalani rawatan menggunakan kaedah IVF, dan selepas tiga kali menjalani prosedur berkenaan dia disahkan mengandung pada Mei tahun lalu.

“Lebih menggembirakan kami sekeluarga apabila doktor memaklumkan saya mengandungkan pasangan kembar lelaki dan perempuan, justeru saya betul-betul mengubah cara pemakanan supaya bayi dikandung kekal sihat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, kira-kira satu per tujuh daripada pasangan suami isteri di zon Pantai Timur yang mendapatkan rawatan menerusi kaedah IVF di HSNZ, berjaya melahirkan zuriat.

“Daripada 700 pasangan yang menjalani proses IVF di HSNZ sejak Unit Perawatan Reproduktif mula mengendalikan kes terbabit November 2009, sebanyak 101 kelahiran berjaya dicatatkan di hospital berkenaan.

“Menerusi kaedah ini seramai 52 bayi lelaki dan 49 bayi perempuan sudah dilahirkan di sini.

“Kadar kehamilan sebanyak 30 peratus pada tahun lalu juga sejajar dengan purata peratusan kehamilan IVF yang dicatatkan di seluruh dunia,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 2:40pm
d