mutakhir

Polis tahan 4 suspek kes samun

Oleh Suzalina Halid

POLIS menahan empat lelaki termasuk seorang pelajar berusia 16 tahun yang disyaki terbabit dalam kes samun hingga mendatangkan kecederaan di hadapan sebuah pasar raya di Taman Saga, Alor Setar, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, semua suspek berusia antara 16 hingga 33 tahun itu ditahan di lokasi berasingan sekitar bandar raya ini, semalam.

Katanya, mereka ditahan bagi membantu siasatan terhadap kes samun beg tangan yang dilakukan dua suspek menaiki motosikal Honda Wave sehingga menyebabkan mangsa cedera di bahagian bahu kanan.

“Dalam tangkapan pertama ke atas seorang lelaki di Kampung Tambak Bunga, Jalan Kilang Tebu, polis berjaya menemui telefon bimbit dan dua kad sim milik mangsa yang dijual suspek utama kepadanya.

“Tangkapan kedua pula dibuat di kawasan Kampung Telok Kechai membabitkan seorang suspek dan polis merampas baju T, seluar jeans, dua motosikal serta topi keledar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mior Faridalthrash berkata, tangkapan suspek ketiga dan keempat pula dibuat di Kampung Sawa Kechil dan Kampung Tok Keling dengan salah seorang suspek yang juga pelajar mengaku terbabit dalam kes samun.

“Tiga suspek direman mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, manakala suspek pertama dibebaskan dengan jaminan polis.

“Hasil siasatan mendapati suspek turut terbabit dalam beberapa kes ragut di bandar raya ini selain mempunyai enam rekod jenayah termasuk dadah,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang mengalami patah bahu kanan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan keadaannya dilaporkan stabil.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 2:58pm
d