mutakhir

Akaun kewangan kerajaan ditutup lebih lewat [METROTV]

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

KEMENTERIAN Kewangan mengambil langkah untuk menutup akaun kewangan kerajaan pada 21 Disember lalu berbanding pada 15 November seperti dilakukan kerajaan terdahulu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penutupan terlalu awal akaun kewangan seperti diamalkan kerajaan terdahulu hanya menyusahkan urusan dan fungsi kerajaan yang terhenti hampir sebulan setengah dan ia tindakan tidak bertanggungjawab.

“Sebab itu kita tukar buat kali pertama akaun ditutup pada 21 Disember dan kita bersyukur kerana baki kewangan masih dalam surplus (lebihan), tiada defisit.

“Ini menunjukkan pengurusan kewangan yang baik dan sihat serta sistem

perakaunan yang mengikut atur cara dan prinsip perakaunan yang diterima peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Pondok Berdaftar di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan penutupan awal akaun kewangan kerajaan adalah kaedah tidak profesional dalam mengurangkan perbelanjaan dan memastikan belanjawan mereka pada kadar defisit.

“Pembaharuan yang kita lakukan ini semua penjawat awam tahu cuma rakyat sahaja tidak tahu dan perlu pastikan dana mencukupi (untuk tutup lewat).

“Ini bagi memastikan pengurusan kewangan mengikut tatacara antarabangsa, bukan untuk tujuan politik seperti sebelum ini yang tutup akaun awal hanya bagi ‘mencantikkan’ pengurusan akaun itu,” katanya.

Dalam pada itu Guan Eng berkata, peruntukan berjumlah RM25 juta disalurkan kepada 228 sekolah pondok dan sekolah agama rakyat yang berdaftar seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Biasanya peruntukan akan diberikan secara berfasa sepanjang tahun dan bukan pada Januari, tapi saya rasa harus diberikan awal supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri dapat buat perancangan yang lebih teratur dan menyeluruh supaya bantuan sampai secepat mungkin.

“Pengagihan nanti ikut budi bicara pihak Mujahid, kita tidak letak syarat hanya janganlah ada unsur politik sama ada dalam perniagaan, media dan juga pendidikan, institusi sekolah pondok tidak boleh dimiliki ahli atau parti politik,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 3:48pm
d