mutakhir

Bawak dadah rupanya...

Oleh Hadzlihady Hassan

POLIS berjaya merampas syabu dan pil ekstasi bernilai RM355,000 selepas menahan dua lelaki di Flat Teluk Indah, Perai, Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dua suspek terbabit ditahan jam 2.33 pagi selepas mereka dilihat menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, sepasukan polis pada mulanya menahan Perodua Alza putih dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun bersama dua penumpangnya lelaki warga Indonesia di jalan masuk flat terbabit.

“Ketika itu, anggota polis melakukan pemeriksaan dan meminta lesen serta dokumen pengenalan diri kepada pemandu serta penumpang hadapan dan belakang MPV berkenaan.

“Bagaimanapun, penumpang hadapan secara tiba-tiba melarikan diri dan polis terus mengejarnya namun gagal dikesan sehingga hari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, susulan itu polis membuat pemeriksaan lanjut dan berjaya menemui beg galas yang dibawa penumpang belakang mengandungi dadah.

“Berikutan itu kita menahan pemandu MPV terbabit dan penumpang belakang berusia 42 tahun bagi membantu siasatan.

“Mereka berdua direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, suspek yang memandu MPV itu bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai satu rekod jenayah lampau kerana kesalahan dadah, manakala penumpang belakang itu pula tidak bekerja serta tiada rekod jenayah.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 4:32pm
d