mutakhir

Maut dirempuh kenderaan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 458.2 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) arah Bukit Lanjan ke Sungai Buloh, dekat Petaling Jaya, hari ini.

Kejadian jam 2.20 petang menyebabkan mangsa, Jamal Bukhari Abdullah, 45, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal di lorong kanan laluan berkenaan.

“Berdasarkan keterangan saksi, motosikal mangsa dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang bertindak melarikan diri sejurus kejadian.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh daripada motosikal menyebabkan dia cedera parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 5:49pm
d