mutakhir

Derita Wan Ainun Mardiah

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

BERAT dugaan dihadapi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun apabila dirinya menghidap penyakit spina bifida atau tulang belakang bengkok dan hydrocephalus iaitu lebihan cecair dalam kepala.

Kanak-kanak berkenaan, Wan Ainun Mardiah Wan Saiful Shahrizal, 4, yang tinggal di Kolam Air Panas, Tok Bok, Labok, dekat Machang, dikesan menghidap penyakit itu sejak berusia tujuh bulan dalam kandungan ibunya, Hasnizan Mohd Salleh, 37.

Hasnizan berkata, akibat dua penyakit itu, anak bongsu daripada tiga beradik lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan air kencingnya tidak lawas serta perlu disedut tiga jam sekali.

Katanya, dia perlu menyedut air kencing anak dengan menggunakan wayar khas memandangkan kedua buah pinggang anaknya bengkak sejak kecil.

“Anak saya hanya mampu mengengsot untuk bergerak kerana keadaan tulang belakang yang bengkok dan kepala yang besar berbanding kanak-kanak normal.

“Akibat penyakit ini, anak saya sudah menjalani tiga pembedahan iaitu dua kali di bahagian tulang belakang dan sekali di bahagian kepala ketika berusia sebulan lebih serta tiga bulan.

“Disebabkan anak banyak berbaring, tulang belakangnya luka dan perlu dicuci setiap hari,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun tidak normal, tetapi anaknya mampu bercakap.

Suri rumah itu berkata, anaknya juga kini mendapatkan rawatan fisioterapi sebulan sekali di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, dan perlu berjumpa doktor di Klinik Kesihatan Labok.

“Saya harap anak saya dapat berjalan seperti kanak-kanak lain kerana masa depannya masih jauh.

“Anak saya juga mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan,” katanya.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun BSN 0301341000126200 milik Hasnizan Mohd Salleh.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 5:52pm
d