mutakhir

UTC Kuching 'bocor'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

HUJAN lebat sejak jam 3 petang tadi menyebabkan ruang legar Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching dipenuhi air.

Keadaan itu menyebabkan operasi pusat berkenaan terpaksa ditangguhkan sementara bagi membolehkan kakitangan dan orang ramai mengosongkan premis berkenaan.

Tular video dan gambar bumbung di ruang legar berhampiran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bocor menyebabkan limpahan air di lokasi berkenaan.

Beberapa kawasan rendah di Kuching juga dinaiki air seperti di Lebuh Wayang dan sekitar Padang Merdeka, namun sehingga kini keadaan trafik masih terkawal.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak tidak menerima sebarang maklumat mengenai banjir kilat.

“Semua anggota di Balai Bomba dan Penyelamat sudah diarahkan membuat pemantauan kawasan berisiko supaya tindakan lanjut dapat diambil segera,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 6:36pm
d