mutakhir

Empat ditahan menyamar penjawat awam

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

DUA bekas pegawai kerajaan termasuk seorang pesara di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) antara tiga ditahan kerana menyamar sebagai pegawai agensi itu, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 2.15 petang, tiga lelaki berusia antara 38 hingga 58 tahun itu baru selesai melakukan ‘serbuan dan rampasan’ 29 kotak rokok seludup pelbagai jenama di sebuah kedai runcit di Sitiawan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif berkata, anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang membuat rondaan menerima maklumat membabitkan sebuah Proton Iswara yang dinaiki tiga suspek dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati salah salah seorang daripada suspek memakai ‘vest’ yang mempunyai lambang KPDNHEP.

“Hasil soal siasat mendapati mereka baru selesai menyamar sebagai pegawai agensi berkenaan dan membuat serbuan di kedai runcit dan dua daripada tiga suspek adalah bekas pegawai kerajaan termasuk seorang lelaki berusia 58 tahun adalah pesara agensi berkenaan.

“Lelaki itu juga didapati memakai pakaian lengkap agensi berkenaan dan sudah bersara sejak dua tahun lalu dengan menggunakan pengalamannya untuk membuat serbuan yang didakwa untuk siasatan.

“Selain itu, ketiga-tiga suspek turut mengaku menggunakan modus operandi sama membabitkan tiga lagi kes di beberapa lokasi di sekitar daerah ini secara kecil-kecilan yang didakwa hanya untuk kegunaan sendiri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, hari ini.

Menurutnya, polis merampas sehelai vest berlambang KPDNHEP, sehelai bush jaket, baju, tali pinggang, sepasang gari, sebatang cota, kereta Proton Iswara dan 29 kotak rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM200.

“Dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau, namun ujian air kencing yang dijalankan mendapati mereka bebas daripada dadah.

“Mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang menyamar sebagai anggota polis yang meminta wang sebanyak RM1,000 pada empat lelaki warga Indonesia, Sabtu lalu.

“Suspek meminta wang itu pada warga asing terbabit dalam kejadian di atas jejantas di Sitiawan pada jam 3 petang dengan memperkenalkan diri kononnya sebagai polis dan meminta semua warga asing itu menunjukkan permit kerja sebelum diugut dibawa ke balai polis.

“Suspek juga meminta RM1,000 namun hanya diberikan RM40 sebelum melarikan diri. Lelaki itu dipercayai menyasarkan warga asing dan dia ditahan 15 minit selepas itu hasil rondaan cegah jenayah yang dijalankan anggota polis,” katanya.

Mohamad Hanif berkata, suspek didapati positif syabu selain hasil semakan turut mendapati lelaki itu mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 6:44pm
d