mutakhir

Bagi alasan nak tembak ayam hutan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

POLIS menahan remaja lelaki dan merampas selaras senapang angin di tepi jalan di Taman Pantai Wang, Pantai Remis, Manjung, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, suspek berusia 17 tahun itu ditahan selepas didapati menggalas objek menyerupai senapang.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pemeriksaan pada remaja sudah tidak bersekolah sejak berusia 13 tahun itu mendapati objek digalasnya adalah senapang angin.

Katanya, senapang sepanjang kira-kira satu meter itu mempunyai laras besi bertulis ‘Steven Air Rifle Automatic’ berserta satu teleskop warna hitam bertulis ‘Busnell’ serta mempunyai pemicu dan mekanisme senapang angin.

“Hasil soal siasat suspek memaklumkan senapang angin itu dipinjam daripada rakannya dan turut mendakwa ia digunakan untuk menembak ayam hutan.

“Senjata api itu dirampas dan suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, hari ini.

Menurutnya, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati remaja itu positif syabu dan semakan turut mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau.

Sementara itu, Muhammad Hanif berkata, orang ramai di daerah ini boleh membuat semakan dan bayaran saman trafik dengan pemberian diskaun 50 peratus untuk semua jenis saman kecuali saman kemalangan, Op Selamat 2018, berstatus mahkamah, berkaitan lori dan status tiada kompaun (NC).

Katanya, orang ramai digalakkan mengambil peluang itu pada program Hari Bertemu Pelanggan Ketua Polis Daerah Manjung anjuran Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Manjung di perkarangan IPD Manjung, bermula jam 9 pagi hingga 4 petang, pada Sabtu dan Ahad ini.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 7:17pm
d