mutakhir

'Nasib baik terhidu, kalau tak...'

Oleh Norzamira Che Noh

LIMA sekeluarga yang menetap di Jalan Kunci Air, Kampung Rantau Panjang di Klang bernasib baik apabila seorang daripada mereka terhidu bau seperti petrol sebelum letupan di luar kediaman itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dalam kejadian pada jam 4.20 pagi itu, penghuni bernasib baik kerana kebakaran berkenaan hanya membabitkan rak kasut serta dinding rumah berukuran empat meter persegi.

“Kebakaran berkenaan disedari seorang penghuni rumah berkenaan yang pada ketika itu masih belum tidur.

“Mangsa terhidu bau seperti minyak petrol serta turut mendengar bunyi orang berjalan di luar rumah. Tidak lama selepas itu, mangsa terdengar bunyi letupan disusuli api yang marak di rak kasut yang terletak di hadapan rumah.

“Mangsa kemudiannya mengejutkan empat lagi ahli keluarga yang sedang tidur dan memadamkan api berkenaan sebelum ia terus merebak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kebakaran adalah disebabkan petrol yang disimbah di sekeliling rumah dan kemudiannya dibakar menggunakan mancis.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan berjumlah RM2,000.

“Polis masih cuba mengesan suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 8:23pm
d