mutakhir

Sebulan tempoh kritikal buat Malaysia

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

TEMPOH sebulan penggantungan Kawasan Larangan Kekal (RA) di ruang udara Pasir Gudang dan pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, Singapura perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerajaan.

Rata-rata rakyat Johor berpendapat, tempoh sebulan penggantungan itu adalah kritikal buat kerajaan yang mana segala keputusan atau perbincangan perlu dibuat secara teliti dan berhati-hati supaya tidak menjejas kedaulatan serta hak ruang udara negara.

Pakar Teknologi Maklumat (IT), Faiz Mustaffa, 31 berkata, dalam tempoh sebulan yang kritikal, terdapat dua kesan utama perlu dilihat iaitu pertama, kerajaan perlu mengkaji kesan jangka panjang dari aspek perundangan yang boleh mengakibatkan pencerobohan ruang udara negara.

“Kedua ialah bagi mengkaji secara terperinci mengenai kesan terhadap pembangunan di kawasan terbabit iaitu Pasir Gudang kerana seperti sedia maklum, ILS ini mengehadkan sebarang jenis pembangunan menara atau bangunan tinggi.

“Jika perlu tegas (terhadap Singapura), tetaplah bertegas dan jika ada alternatif lain yang boleh mendatangkan manfaat pada kedua-dua pihak, itu adalah lebih baik,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Alif Kasmiti, 30, berkata, keputusan menangguhkan sementara pelaksanaan ILS itu suatu yang baik.

“Namun, dalam tempoh sebulan ini kerajaan perlu mencari penyelesaian terbaik dan yang penting tiada pesawat dibenarkan melalui kawasan ruang udara pusat bandar Pasir Gudang.

“Jika pesawat tidak lagi terbang rendah dalam ruang udara pusat bandar ini, redalah kebimbangan penduduk di Pasir Gudang dan tidak perlu dibelenggu dengan bunyi bising,” katanya.

Berita berkaitan

Pelaksanaan larangan ruang udara, ILS digantung [METROTV]

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 8:31pm
d