mutakhir

Tiga hektar hutan Bukit Botak terbakar

Oleh Junaidi Ladjana

KIRA-KIRA tiga hektar kawasan hutan di Bukit Gundul atau turut dikenali sebagai Bukit Botak di Sepanggar, Kota Kinabalu, terbakar, petang hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.11 petang sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Dua jentera bersama 15 anggota masih giat berusaha mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain setakat 9 malam tadi.

“Kebakaran membabitkan lalang dengan keluasan kira-kira tiga hektar,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Menurutnya, sehingga kini usaha memadam sedang giat dijalankan.

Difahamkan, api dan asap tebal dapat dilihat di sekitar kawasan Sepanggar.

Bukit Botak yang terletak di Sepanggar adalah lokasi ‘hiking’ popular dalam kalangan penduduk di bandar raya Kota Kinabalu.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 9:33pm
d