mutakhir

Bekas bos Tourism Malaysia ditahan SPRM

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

INDIVIDU bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung Tourism Malaysia.

Difahamkan individu terbabit dipercayai pernah menjawat jawatan tinggi agensi berkenaan.

SPRM menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini, memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan reman terhadap seorang bekas pengerusi agensi kerajaan dan seorang ketua pegawai eksekutif di Mahkamah Majistret Putrajaya, esok.

Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.

Pada Jun tahun lalu, SPRM muncul di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dipercayai berkaitan dengan kontrak ditandatangani Tourism Malaysia dengan sebuah syarikat.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab memaklumkan beberapa pegawai SPRM berkunjung ke kementerian itu di Putrajaya untuk mengemukakan beberapa soalan mengenai perjanjian promosi yang ditandatangani dengan syarikat swasta.

Namun, belum dapat dipastikan sama ada penahanan hari ini berkaitan dengan perkara itu.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 10:50pm
d