mutakhir

Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KEDUTAAN Malaysia di Jakarta mengesahkan tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terjejas disebabkan gempa bumi yang melanda daerah Sukabumi, Jawa Barat, Indonesia, 4.54 petang tadi.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan berlaku gempa bumi berukuran 5.4 skala Richter berpusat di laut, 113 kilometer (km) barat daya dari daerah Sukabumi di Jawa Barat.

“Tiada peringatan tsunami dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Setakat ini, tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terjejas disebabkan gempa tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan berkenaan, rakyat Malaysia yang berada di kawasan sekitar dinasihatkan sentiasa mengikuti perkembangan berita tempatan dan maklumat terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Rakyat Malaysia yang terjejas dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Pegawai Bertugas di talian +62 813 80813036 .

“Kedutaan akan terus memantau perkembangan terkini situasi ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 11:17pm
d