mutakhir

Bina rumah mikro untuk bujang B40

Oleh Fahmy Azril Rosli

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang untuk membina rumah mikro berkonsepkan hotel kapsul yang menyasarkan individu bujang berpendapatan B40.

Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata rumah mikro itu menyediakan 200 bilik dengan kadar sewa RM100 sebulan.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan projek perumahan mikro pertama di Jalan Tunku Abdul Rahman itu akan siap dilancar, sekali gus boleh diduduki pada tahun ini.

“Bangunan sudah ada, kami sudah lihat. Tunggu bangunan untuk diubahsuai. Peruntukan lebih kurang antara RM5 juta hingga RM10 juta.

“Insya-Allah, rumah mikro ini akan dimanfaatkan untuk orang bujang yang baru kerja dan berpendapatan rendah. ‘Hotel kapsul’ ini hanya sediakan kelengkapan tidur dan mandi. Tiada tempat untuk memasak.

“Jadi, bila sudah kahwin, orang itu (penghuni) kena keluar,” katanya dalam temu bual Sempena 100 Hari berkhidmat sebagai Datuk Bandar di Menara DBKL, hari ini.

Mengulas lanjut proses permohonan perumahan itu, Nor Hisham berkata, orang ramai perlu memohon secara atas talian.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu akan dibawa dalam perbincangan bersama menteri dan Lembaga Penasihat DBKL untuk diputuskan kelak.

Mengenai rancangan masa hadapan rumah mikro, beliau berkata, DBKL komited untuk memperluaskan inisiatif perumahan itu dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sebelum mereka mampu untuk mempunyai rumah lebih selesa.

“Apa yang DBKL lakukan itu adalah komitmen untuk membantu golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.

“Inisiatif jangka panjang itu akan diperluaskan, namun kami akan mengadakan perbincangan dengan kementerian berkenaan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kami harap apa yang sedang rancang dan lakukan ini dapat membantu mengurangkan beban mereka yang khususnya bekerja di Kuala Lumpur dan tiada perumahan mudah, murah dan selesa,” katanya.

Beliau berkata, apa yang disediakan itu cuma kemudahan asas sahaja sebagai pengiktirafan kepada masyarakat di Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 11:47pm
d