mutakhir

'Oh ibu, di manakah kamu...'

Oleh Adnan Ibrahim

WANITA yang meninggalkan dua anaknya di rumah satu keluarga di Taman Delima, Kluang, sejak Disember 2013 dicari bagi membolehkan zuriatnya mempunyai MyKad dan MyKid seterusnya memudahkan proses mendapatkan kemudahan pendidikan serta kesihatan.

Sharil Mohammed Mydeen, 36, berkata dua kanak-kanak itu adalah Shaik Srehan Abdullah, 11, dan Shainee Abdullah, 6, manakala ibu kandung mereka hanya dikenali sebagai Seri Hanna mengikut nama terkandung dalam Sijil Daftar Kelahiran masing-masing.

Beliau berkata, Shaik Srehan dilahirkan pada 28 Mac 2008 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, manakala Shainee pula dilahirkan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang pada 25 Ogos 2013.

Katanya, sebelum ini kedua-dua kanak-kanak itu tinggal bersama ibu kandungnya dengan menyewa rumah milik keluarganya.

“Pada awal Disember 2013, wanita itu meletakkan anak lelaki dan bayi perempuannya di rumah saya dengan alasan mahu isteri saya menjadi pengasuh sepenuh masa bagi membolehkan dia bekerja di kilang di Johor Bahru.

“Pada mulanya setiap bulan dia membayar upah dan datang bertemu anaknya, namun keadaan mula berubah selepas kira-kira enam bulan kemudian apabila hanya mengirimkan wang jika diminta sebelum menghilangkan diri tanpa dapat dikesan,” katanya kepada NSTP, semalam.

Sharil Mohammed berkata, sudah beberapa kali dia ke kilang tempat wanita berkenaan bekerja, namun gagal mengesannya manakala usaha menjejaki rumah sewa melalui bantuan daripada rakan tidak berhasil.

“Kedua-dua kanak-kanak ini memerlukan kad pengenalan bagi membolehkan mereka bersekolah tanpa sebarang masalah berkaitan kewarganegaraan serta identiti diri.

“Sehubungan itu, saya berharap wanita berkenaan tampil bekerjasama untuk menyelesaikan urusan berkaitan dokumen peribadi anaknya dan sekiranya betul dia ingin menyerahkan zuriatnya kepada kami, ia perlulah dilakukan secara betul mengikut tatacara ditetapkan,” katanya.

Sharil Mohammed berharap wanita berkenaan atau orang ramai mengenalinya dapat menghubungi dia di talian 014 - 2727946 bagi membantu menyelesaikan semua perkara berkaitan.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 12:05am
d