mutakhir

Tak adil salahkan tayar celup semata-mata - TRMAM

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PERSATUAN Pengeluar Tayar Celup Malaysia (TRMAM) menegaskan kemalangan jalan raya berlaku di negara ini disebabkan beberapa faktor dan tidak adil jika dikatakan tayar celup punca berlakunya kecelakaan itu.

Presidennya, Chin Hon Meng, berkata kenyataan Menteri Kerja Raya, Baru Bian, baru-baru ini, yang menyatakan penggunaan tayar celup antara punca lebih 10,000 kemalangan setiap tahun di jalan raya di negara ini, adalah tidak munasabah.

“Terdapat banyak faktor menyumbang kepada kegagalan tayar di jalan raya terutama kepada tayar lori atau bas, sama ada ia tayar baharu atau celup.

“Ini termasuk kurang tekanan angin pada tayar, lebih muatan, sikap pemandu sendiri, keadaan jalan raya, penguatkuasaan terhadap kilang tayar haram serta tayar baru dan murah,” katanya ketika sidang media di Johor Bahru, semalam.

Beliau berkata, angka diberikan menteri berkenaan tidak disahkan TRMAM dan seharusnya sebarang analisis kemalangan jalan raya perlu dikendalikan individu atau badan profesional.

Katanya, semua syarikat tayar celup di bawah naungan TRMAM diiktiraf dengan Malaysian Standard (MS) 224:2005 yang termaktub dalam Akta Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Pensijilan Mandatori Produk MS224:2005 untuk tayar celup diwartakan kerajaan dan diterbitkan pada November 2007 iaitu semua tayar celup digunakan atas jalan raya di negara ini mesti mematuhi piawaian ini.

“Semua ulasan negatif mengenai tayar celup dibuat tanpa objektif dan ulasan tanpa pengetahuan teknikal apabila semua tuduhan kerosakan tayar lori atau bas di jalan raya berpunca daripada tayar celup adalah tidak munasabah sama sekali,” katanya.

Chin berkata, penguatkuasaan tegas mesti dilakukan dari semasa ke semasa untuk memantau kewujudan kilang tayar celup yang menghasilkan produk tidak memenuhi pengiktirafan MS atau kilang haram masih beroperasi sehingga kini.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran kami dibanjiri dengan tayar lori dan bas import murah dan berkualiti rendah untuk kenderaan komersial dan ini mendatangkan masalah bukan sahaja kepada kami yang diiktiraf dengan pensijilan, malah kehadiran kilang haram ini membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

“Pada masa sama, tayar celup turut digunakan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, negara Eropah, Jepun, Singapura dan ada di antara pengeluar tayar baharu melantik pengilang tayar celup yang berkaliber untuk menghasilkan tayar celup bawah jenama mereka,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 1:18am
d