mutakhir

[UPDATE] Uncle Jimmy suruh selamatkan diri

Oleh Muhammad Apendy Issahak

MANGSA yang maut dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Jalan Tingkat Zarib 5B, Taman Pinji Mewah, Ipoh, hari ini sempat mengarahkan jirannya untuk menyelamatkan diri.

Dalam kejadian 3.40 pagi itu, mangsa Oi Hock Chuan, 63, ditemui mati di ruang tamu selepas dipercayai terperangkap ketika masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil barang.

Jirannya, Ahmad Firdaus Mohd Said, 31, berkata ketika kejadian dia bersama isteri Alia Farhana Saparudin, 30, berada di rumah yang disewanya bersebelahan rumah mangsa sejak dua tahun lalu.

“Saya tersedar daripada tidur apabila terdengar bunyi seperti barangan jatuh dan kaca pecah serta bunyi bising.

“Ketika itu tiada bau asap, namun ketika saya bangun dan pegang dinding rumah saya dapati ia panas sebelum kami suami isteri keluar rumah untuk memeriksa.

“Sebaik keluar saya dapati mangsa yang lebih mesra dipanggil Uncle Jimmy berada di luar rumah dan meminta kami menyelamatkan diri kerana rumahnya terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut, dia bersama isterinya bertindak menyelamatkan diri dan sempat mengambil dokumen penting selain mengalihkan kereta ke tempat selamat.

“Pada masa sama, saya lihat api mula kelihatan di tingkat atas rumah mangsa dan bertindak menghubungi talian kecemasan 999.

“Uncle Jimmy pula saya lihat memasuki semula ke dalam rumahnya. Kami jiran-jiran menjerit beberapa kali mengarahkan dia keluar, dan dia menyahut jeritan kami mengatakan akan keluar,” katanya.

Katanya, selepas beberapa minit panggilan serta jeritannya tidak lagi berjawab dan tidak lama kemudian pasukan bomba tiba.

“Kali terakhir saya bertegur sapa dengannya, petang semalam ketika pulang dari kerja dan Uncle Jimmy memang seorang yang baik,” katanya.

Katanya, susulan kebakaran itu rumah sewanya mengalami keretakan di bahagian tangga, dinding dapur dan tingkat atas yang bersebelahan rumah mangsa.

Berita berkaitan

Peniaga barang lusuh maut dalam kebakaran

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 11:10am
d