mutakhir

'Toyol masjid' dicekup [METROTV]

Oleh Zaid Salim

MISTERI kehilangan duit tabung di Masjid Durian Burung dan Kuala Bekah, di Kuala Terengganu, terjawab selepas tertangkapnya lelaki di rumah di Kampung Batu Hampar, Manir, Kuala Terangganu.

’Toyol masjid’ berusia 34 tahun terbabit ditahan sepasukan anggota cegah jenayah Balai Polis (BP) Chabang Tiga dan BP Manir, di sini, yang membuat serbuan di rumah suspek di kampung berkenaan 9 malam, Isnin lalu.

Berdasarkan kepada maklumat video, suspek dipercayai mencuri duit tabung Masjid Durian Burung pada Khamis lalu, 8.17 pagi.

Difahamkan, selepas menyedari dirinya menjadi buruan polis, suspek yang turut terbabit dengan kegiatan mengedar dan menyalahguna dadah dikatakan menghilangkan diri sebelum pulang ke rumahnya pada hari berkenaan.

Ketika serbuan, suspek dikatakan baru pulang ke rumahnya sebelum dicekup polis yang sebelum itu membuat kawalan di sekitar rumah suspek.

Menurut sumber, suspek cuba melepaskan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun gagal apabila dia ditahan di ruang tamu rumah yang didiaminya bersama keluarga.

“Kita mengambil masa beberapa jam berada di sekitar rumah suspek. Ketika ditangkap suspek turut memiliki dadah syabu dan heroin. Suspek kemudian dibawa ke BP Chabang Tiga untuk disoal siasat,” katanya.

Tangkapan terhadap suspek dibuat berdasarkan maklumat awam dan rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di Masjid Durian Burung.

Selepas menceroboh masjid berkenaan, suspek kemudian dikatakan menceroboh Masjid Kuala Bekah sebelum perbuatannya itu disedari penduduk yang kemudian merakam nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek.

Sumber berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 380 kanun keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman mengesahkan tangkapan itu.

“Kita percaya tangkapan terhadap suspek berjaya menyelesaikan beberapa kes curi sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 1:30pm
d