mutakhir

Ahli majlis DAP celupar letak jawatan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

ISU berhubung kenyataan kurang sopan dimuat naik Ahli Majlis Daerah Pontian yang memperlekeh Institusi Raja Berperlembagaan dalam laman sosial Facebook (FB), dianggap selesai selepas individu berkenaan meletakkan jawatannya, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Ping berkata peletakan jawatan itu dibuat Mohammad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah berhubung kenyataan kontroversi dikongsi pada 4 Januari lalu.

“Dia semalam letak jawatan dan isu ini kira sudah selesai. Dia sudahpun meminta maaf kepada Tunku Ismail (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan meletakkan jawatan sebagai ahli majlis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pertandingan golf amal di Forest City Golf Resort di Gelang Patah di Iskandar Puteri, hari ini.

Katanya, DAP juga akan mengadakan mesyuarat bagi mencari pengganti ahli majlis berkenaan.

“Surat peletakan jawatan diserahkan kepada saya dan juga Datuk (Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian),” katanya.

Beliau juga ada bertemu dengan Menteri Besar termasuk membincangkan mengenai perkembangan terkini itu.

Ditanya mengenai perlukah ada prosedur operasi standard (SOP) baru sebagai ahli majlis, katanya, tidak perlu kerana semua ahli majlis sudah diberi penerangan mengenainya.

“Saya tidak rasa ia perlu kerana kami sudah pun memaklumkan mengenai pelbagai perkara termasuk protokol dan etika. Kami sudah memberi penerangan,” katanya.

Terdahulu, Mohammad Kamarul Ariffin membuat kenyataan memperlekeh Tunku Ismail dalam akaun FB miliknya pada Jumaat lalu sebelum dipadamkan.

Susulan itu, beliau memohon maaf kepada seluruh kerabat diraja Johor menerusi laman sama atas kenyataan dibuatnya sebelum ini.

Berikutan itu DAP Johor merafak sembah dan memohon keampunan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas kenyataan tidak sopan itu.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 3:29pm
d