mutakhir

Bekas CEO ditahan SPRM

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat milik Kerajaan Perak bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini, kerana disyaki menerima rasuah pembayaran pembinaan banglo miliknya dianggarkan bernilai lebih RM450,000.

Suspek berusia 57 tahun ditahan di Pejabat SPRM Perak jam 11.20 pagi tadi selepas dipanggil untuk memberi keterangan membabitkan kes berkenaan.

Sumber berkata, suspek dipercayai menerima bayaran bagi pembinaan rumah banglo yang dianggarkan bernilai lebih RM450,000 daripada seorang kontraktor.

Katanya, kontraktor berkenaan dipercayai mempunyai urusan rasmi dengan suspek dalam satu kontrak kerja infrastruktur membabitkan anak syarikat Kerajaan Perak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh esok bagi pendakwaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 5:48pm
d