mutakhir

Makan suap RM25,000 daripada lelaki Bangladesh

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

AHLI perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM25,000 daripada lelaki Bangladesh berhubung kesalahan imigresen, dua tahun lalu.

Tertuduh Mohamad Tahir Fazal Mohd, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta daripada Monomiah suapan wang tunai RM20,000 sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen, kesalahan yang dilakukan oleh syarikat milik Monomiah, Dyna Maintenance Services Sdn Bhd yang membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk bekerja sebagai buruh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM5,000 daripada Monomiah bagi tujuan yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang juga membawa hukuman sama jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan masing-masing di dua buah restoran di Bukit Bintang dan Pandan Jaya pada 12 dan 19 September 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kerana dia kini tidak bekerja dan mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, selain perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan sekali sebulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Februari ini.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang sarjan polis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM100 daripada seorang lelaki, tahun lalu.

Norul Ezwan Nasir, 34, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa masing-masing meminta dan menerima wang RM100 daripada Ahmad Syafiq Ahmad Sahrul sebagai dorongan untuk menyerahkan semula sport rim yang telah dirampas kerana disyaki barang curi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 6, Bahagian Siasatan Jenayah, Balai Polis Travers di di sini pada 5 Oktober tahun lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan Norul Ezwan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 5:50pm
d