mutakhir

'Dadah murah, mudah diperoleh' [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

DADAH murah dan mudah diperoleh, menjadi antara alasan popular ramai penagih yang ditahan dalam Operasi Cegah dan Aduan Khas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Jempol dekat Seremban di sini, hari ini.

Pengarah AADK Negeri Sembilan, Nazira Sadiron, berkata penagih terbabit mendakwa disebabkan keadaan itu, mereka gagal meninggalkan tabiat yang merosakkan diri dan masyarakat itu sejak sekian lama.

Beliau berkata, dalam operasi di kawasan Bandar Seri Jempol, Pekan Bahau, Rompin, Ladang Geddes, Sungai Lui dan Felcra Ayer Hitam yang bermula petang kelmarin dan tamat jam 11 pagi tadi, pihaknya menahan 12 penagih berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Ketika ditahan, penagih mendakwa sukar meninggalkan dadah kerana bahan itu mudah dilihat di depan mata. Tambahan pula, hanya dengan bermodalkan RM5, mereka dapat melepaskan gian dengan sekali sedutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Menara Zurich, di sini, hari ini. Hadir sama Ketua AADK Daerah Jempol, Ahmad Sabri Mohd Yusof.

Nazira berkata, operasi itu bertujuan menyelesaikan aduan awam selain mengesan serta menyempurnakan waran tangkap terhadap penagih yang ingkar pengawasan.

“Turut ditahan, pasangan kekasih serta seorang tokan yang memiliki pelbagai kes dadah. Pihak AADK merampas 185.65 gram heroin dan 25.10 gram methamphethamnie dianggarkan bernilai RM13,374 daripada dua penagih,” katanya.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu dan diserahkan kepada polis mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 itu dipercayai dapat menyekat aktiviti pembekalan di Felcra Ayer Hitam.

“Semua tangkapan pula diserahkan kepada AADK Jempol mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya jumlah penagih di negeri ini meningkat sebanyak 17 peratus atau 397 orang iaitu seramai 2,614 penagih tahun lalu, berbanding 2,235 penagih pada tahun sebelumnya.

Katanya, penagih di Seremban meningkat 286 orang diikuti Tampin (181), Jelebu (23) dan Kuala Pilah (9) manakala daerah yang lain mencatatkan penurunan.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 6:16pm
d