mutakhir

Kes anak Mat Sabu: Polis mohon cepatkan ujian air kencing

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

TIADA isu pilih kasih berhubung siasatan anak lelaki Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang ditahan positif ganja di pusat hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan sampel air kencing suspek berusia 31 tahun itu bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Polis tidak pernah bersikap ‘double standart’ dalam melengkapkan siasatan kes walaupun ia membabitkan orang kenamaan.

“Proses laporan patologi Hospital Kuala Lumpur berhubung sampel air kencing suspek itu memakan masa ekoran setiap hari hampir 60 individu disahkan positif dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program High Profile Policing di Pasar Raja Bot, Chow Kit hari ini.

Menurut Mazlan, pihaknya ada mengemukakan permohonan mempercepatkan keputusan ujian saringan air kencing namun ia tidak menjamin keputusan keputusan akan diterima dalam masa terdekat

Harian Metro baru-baru ini melaporkan anak lelaki Mohamad ditahan positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang.

Anak ketiga Mohamad iaitu Ahmad Saiful Islam, 31, ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Bagaimanapun Ahmad Saiful Islam bersama rakannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 . Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 8:35pm
d