mutakhir

Cekup dalang edar air ketum

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KEMUNCULAN teksi lusuh di Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, Johor Bharu di sini, sejak beberapa bulan lalu terbongkar apabila kenderaan itu dijadikan ‘port rahsia’ dua lelaki mengedar air ketum di kawasan berkenaan.

Penolong Pengarah Penguatkuasa dan Keselamatan Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor, Mohd Faisal Maksom berkata, kegiatan didalangi dua lelaki berusia 20-an itu berakhir selepas kenderaan itu diserbu dalam operasi bersepadu jam 3.30 petang.

Katanya, operasi dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) hasil intipan dan maklumat awam sejak sebulan lalu.

“Hasil siasatan dan risikan sejak sebulan lalu didapati wujud aktiviti pengedaran air ketum siap diproses membabitkan individu di dalam sebuah teksi lusuh di situ.

“Air ketum yang dipercayai dibekalkan pihak tertentu kemudian dijual secara terbuka kepada individu yang membuat pesanan melalui telefon,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ketika operasi dijalankan, berlaku aktiviti jual beli antara dua lelaki dipercayai dalang pengedaran air ketum itu dengan pelanggan mereka.

“Ketika itu terdapat usaha dua lelaki berusia 20-an terbabit cuba untuk melarikan diri, namun dapat ditahan di kawasan berdekatan.

“Bagaimanapun, pelanggan yang berada di lokasi itu berjaya melarikan diri,” katanya operasi itu disertai 10 anggota penguatkuasa termasuk lima daripadanya polis.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, air ketum yang sudah siap diproses itu akan diambil dari bonet kereta oleh pengedar berkenaan untuk diberikan kepada pelanggan.

Katanya, kedua-dua lelaki berkenaan dan dua tong air ketum siap dibungkus diserahkan kepada polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 11:15pm
d