mutakhir

3 temui ajal akibat 'gas beracun'

Oleh Harun Yahya

TIGA pekerja kimpalan maut dipercayai selepas terhidu gas beracun ketika menjalankan proses baik pulih dalam sebuah kapal tunda di Sibu, petang semalam.

Pemangku Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.38 petang di sebuah limbungan kapal persendirian.

“Keseluruhannya, tujuh pekerja asing yang kebanyakannya dari Bangladesh dan Indonesia sedang melakukan proses penyelenggaraan dalam badan (perut) kapal tunda berkenaan.

“Bagaimanapun, mereka tiba-tiba dilaporkan mengalami kesukaran bernafas sebelum pengsan dipercayai selepas terhidu gas beracun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, kumpulan pekerja terbabit turut dibekalkan alat bantuan pernafasan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, namun tidak dapat dipastikan sama ada kelengkapan itu digunakan atau sebaliknya.

Katanya, empat daripada mangsa berjaya dikeluarkan pihak majikan mereka dan orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk menjalani rawatan susulan.

“Anggota bomba menggunakan tali dan alat pernafasan untuk masuk ke dalam ruang kapal itu bagi menyelamatkan tiga lagi pekerja yang pengsan.

“Selepas berjaya dikeluarkan, bantuan pernafasan diberikan kepada ketiga-tiga mangsa, namun dua daripadanya disahkan meninggal dunia,” katanya.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Syahrir Ramadhan dan Irman Syah, kedua-duanya warga Indonesia.

Seorang lagi mangsa, Rone Matbor, warga Bangladesh meninggal dunia di Hospital Sibu, malam semalam.

Wan Kamaruddin berkata, operasi yang dikendalikan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah ditamatkan kira-kira jam 7.50 malam semalam.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 10:03am
d