mutakhir

Bantuan segera Muslim Care ke Indonesia

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Menyedari kesan kemusnahan akibat runtuhan gunung berapi Anak Krakatau yang mencetus tsunami di Selat Sunda, Indonesia, 22 Disember lalu masih belum pulih, Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) menghantar bantuan segera ke kawasan bencana itu, baru-baru ini.

Timbalan Presiden Muslim Care Mohd Johari Ismail berkata, dia dan dua sukarelawan Malaysia bersama tiga sukarelawan Indonesia pergi ke beberapa kawasan terjejas teruk antaranya sekitar Banten dan pesisir pantai Selat Sunda termasuk Kampung Cikujang, Desa Tunjung Jaya, Kecamatan Panimbang serta Kabupaten Pandeglang.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian selama dua hari sehingga Isnin lalu itu, pihaknya mendapati keperluan paling mendesak mangsa tsunami berkenaan lebih kepada penempatan kerana kebanyakan yang terbabit hilang tempat tinggal.

Berdasarkan laporan media, gelombang tsunami dipercayai mempunyai kaitan dengan letusan awal gunung berapi Anak Krakatau itu mengorbankan seramai 429 orang, 1,485 mangsa cedera serta lebih 100 mangsa masih hilang manakala 16,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

“Ternyata keadaan di sana sangat menakutkan penduduk. Ramai yang melarikan diri ke kawasan tinggi kerana khuatir tsunami melanda lagi.

“Saya sayu apabila seorang daripada mangsa ditemui di Tanjung Jaya yang masih trauma tidak putus-putus mengucapkan syukur dia masih hidup.

“Habis semua harta yang ada, rumahnya musnah sama sekali dihanyutkan tsunami dan tinggal rata dengan tanah. Namun dia dan tiga anaknya terselamat dalam bencana tu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain memberikan bantuan secara terus kepada mangsa yang ditemui, Johari berkata, pihaknya turut menyampaikan sumbangan wang tunai hasil derma rakyat Malaysia kepada Bupati Pandeglang Irna Nurulita untuk membeli barangan pembinaan kediaman yang sudah musnah dihanyutkan ombak tsunami.

Menurutnya, kerja kemanusiaan tanpa sempadan yang dilakukan Muslim Care adalah berterusan dan orang ramai yang mahu membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Muslim Care Malaysia di Maybank 564490413882, Bank Islam 14014010147470 atau Bank Muamalat 14010007654717.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 11:13am
d