mutakhir

Syabu RM3.45 juta dalam tong ikan [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

TINDAKAN berani dua penyeludup membawa keluar dadah jenis Methamphetamine atau syabu dianggar bernilai RM3.45 juta melalui jalan laut membawa padah selepas perbuatan mereka digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pagi semalam.

Dadah terbabit diletakkan dalam satu-satunya tong ikan jingga yang dibawa menggunakan bot gentian kaca itu tanpa dilindungi apa-apa bagi mengaburi pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, suspek yang berusia 27 dan 31 tahun, ditahan bot ronda Maritim Malaysia Selangor selepas mereka dikejar 15 minit pada jarak 1.1 batu nautika dari Sungai Belankan di perairan Tanjung Rhu, Pelabuhan Klang.

“Tangkapan itu susulan operasi melalui risikan berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan bot itu dikesan keluar dari Jeti Nelayan Sungai Belankan dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila menyedari kehadiran pasukan ronda Maritim Malaysia, pengemudi bot yang dilengkapi enjin sangkut berkuasa 60 kuasa kuda memecut untuk melarikan diri.

“Bagaimanapun bot ronda Maritim berjaya memintas dan menahan bot suspek selepas 15 minit mengejar mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Selangor hari ini.

Mohd Zubil berkata, pada mulanya suspek cuba melawan namun ketangkasan anggota Maritim Malaysia berjaya meredakan keadaan.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot suspek mendapati sebuah guni putih mengandungi 22 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah dianggarkan 23 kilogram, disimpan di dalam tong ikan jingga.

“Ini rampasan dadah terbesar yang pertama tahun ini di Malaysia oleh Maritim Malaysia, syabas pasukan operasi khas ini,” katanya.

Beliau berkata, siasatan terhadap suspek pula mendapati seorang daripada mereka pernah ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) membabitkan kesalahan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Selepas beberapa jam ditahan, mereka berada dalam keadaan khayal, mata berair dan ujian air kencing dilakukan.

“Kedua-dua suspek, bungkusan dadah serta bot terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 2:04pm
d