mutakhir

Curi barang mahu 'layan kepala'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

CURI barang untuk khayal. Itu tindakan terdesak seorang lelaki yang sanggup mencuri pelbagai barangan milik anggota keluarganya untuk membeli dadah.

Namun, tindakannya itu membuatkan keluarganya terpaksa membuat laporan polis, kelmarin sehingga membawa kepada penahanan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, susulan daripada laporan yang dibuat, polis menahan lelaki berusia 27 tahun itu di Kampung Bumbok Baru, Padawan, jam 9.10 pagi semalam.

Menurutnya, sebelum itu keluarga suspek menyedari pelbagai barangan seperti barang kemas, mesin rumput, wang tunai dan tong gas dianggarkan bernilai lebih RM3,600 dilaporkan hilang.

“Keluarganya mengesyaki suspek adalah individu yang mencuri barangan berkenaan sebelum menjualnya kepada individu tertentu.

“Suspek berbuat demikian kerana terbabit dengan penagihan dadah selain turut menjadi kaki judi atas talian sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Aidil berkata, kehilangan pelbagai barangan milik keluarganya sudah beberapa kali dikesan, namun tidak dilaporkan kepada polis.

Katanya, tidak tahan dengan sikap suspek menyebabkan keluarganya terpaksa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 2:18pm
d