mutakhir

Gajah jantan ditangkap

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

SEEKOR gajah jantan ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan di Kampung Bukit Selar, Kuala Balah, Jeli hari ini.

Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohd Hasdi Hussin berkata, gajah berumur antara 40 hingga 50 tahun itu ditangkap dalam satu operasi di kampung itu jam 9.15 pagi.

Katanya, gajah itu dipercayai memusnahkan tanaman penduduk kampung berkenaan sejak minggu lalu.

“Sepasukan enam renjer sudah dihantar ke kampung itu selepas menerima maklumat terdapat seekor gajah berkeliaran di kawasan itu.

“Mereka berjaya menangkap gajah jantan itu dua jam kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hasdi berkata, gajah itu adalah yang kedua ditangkap PERHILITAN tahun ini selepas tangkapan pertama di Kampung Bayu, Gua Musang, dua hari lalu.

Katanya, enam gajah berjaya ditangkap jabatan itu tahun lalu dan kebanyakannya di daerah Gua Musang dan Jeli.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 2:33pm
d