mutakhir

Dulu penagih, kini tauke

Oleh Ifwan Tun Tuah

“JIKA tidak terjebak dengan ketagihan syabu dan ganja, pasti saya sudah bergelar jurutera hari ini,” kata Mohd Amirul Ashraf Haimid, 31, yang membazirkan lebih empat tahun hidupnya menagih dadah.

Menceritakan kisahnya, Mohd Amirul bersyukur mempunyai keluarga yang tidak berputus asa berusaha memulihkannya walaupun terpaksa membelanjakan wang banyak untuk menghantarnya ke pusat pemulihan swasta.

Bebas sepenuhnya daripada ketagihan, dia kini yang mengusahakan perniagaan restoran di Ampangan, Seremban tidak mahu lagi mengecewakan keluarganya termasuk isteri dan tiga anaknya berusia dua hingga empat tahun.

Selain sibuk dengan perniagaan sendiri, Mohd Amirul aktif dalam program pencegahan dadah melalui Pertubuhan Pemulihan Kesan Sosial Malaysia (PKSM) Negeri Sembilan sebagai penceramah tetap dengan misi menyelamatkan anak muda daripada dadah.

“Saya bukan pelajar nakal di sekolah, namun saya terjebak dengan dadah ketika menyertai kumpulan mat rempit ketika melanjutkan pengajian peringkat diploma kejuruteraan di sebuah kolej swasta pada usia 21 tahun.

“Sejak itu, saya hanyut dengan rakan-rakan dan mengabaikan keluarga terutama ibu dan ayah.

“Setiap minggu saya paksa ibu beri RM100 hingga RM200 untuk beli dadah sedangkan kami bukan orang senang. Ibu terpaksa beri kerana tidak mahu saya mencuri seterusnya ditangkap dan dicederakan.

“Tidak cukup itu, saya berhenti belajar walaupun sebenarnya menjadi antara pelajar cemerlang. Apabila imbas kembali semua itu, saya malu dan menyesal,” katanya yang dua kali ditahan polis.

Katanya, pengaruh rakan terlalu kuat menyebabkannya gagal untuk berhenti mengambil dadah walaupun mempunyai keinginan berbuat demikian dan akhirnya semuanya berubah selepas dia keluar dari pusat pemulihan pada 2012.

Mohd Amirul berkata, dia berkenalan dengan wanita dari Kedah yang bekerja di sebuah pasar raya di Seremban dan mengahwininya pada 2013.

“Isteri, Siti Amira Hassan, 28, dan keluarganya menerima saya seadanya walaupun hanya bekerja menjual sayur ketika tinggal di Kedah.

“Melihat perubahan diri, ayah meminta saya balik ke Seremban untuk mengusahakan warung di tanah milik sepupunya di Ampangan.

“Keluarga saya berkongsi wang untuk dijadikan modal perniagaan. Saya bermula dengan kecil malah hanya membina dapur saja dengan tempat makan pula menggunakan payung.

“Walaupun mengalami kerugian pada peringkat awal, syukur perniagaan semakin maju dan saya mampu memperbesarkan perniagaan malah kini menggaji 12 pekerja,” katanya.

Mohd Amirul berkata, penghayatan agama selain sokongan keluarga terutama anak dan isteri serta ibu bapanya, menguatkan semangatnya untuk tidak kembali menagih dan terus melangkah untuk membina kehidupan lebih baik.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 2:43pm
d