mutakhir

PM menghadap Sultan Johor, petang ini

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Mohd Iskandar Ibrahim

“YA saya nak jumpa dengan baginda (Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, itu sahaja,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai agenda pertemuannya dengan Sultan Johor di Istana Bukit Serene, Johor petang ini.

Media sebelum ini melaporkan Sultan Ibrahim dijangka menerima menghadap Dr Mahathir, jam 3.30 petang hari ini.

Pertemuan itu adalah yang pertama antara Sultan Johor dan Dr Mahathir sejak beliau dilantik buat kali kedua sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Endie Shazlie Akhbar dilaporkan berkata, pertemuan tertutup bersama Sultan Ibrahim itu ditunda sejak kira-kira dua minggu lalu.

Endie berkata, tiada jadual rasmi ditetapkan sepanjang sesi pertemuan di Istana Bukit Serene.

Beliau juga menafikan pertemuan itu mempunyai kaitan dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu oleh Majlis Raja-Raja, 24 Januari ini.

“Pertemuan itu sudah dirancang sebelum Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong (Ahad lalu),” katanya.

Berdasarkan senarai pusingan sembilan paling kanan dalam Majlis Pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah adalah yang seterusnya layak ditawarkan jawatan itu, diikuti Sultan Ibrahim.

Ketika ini, kerusi Yang di-Pertuan Agong baharu tertumpu kepada Sultan Pahang dan Sultan Johor.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 2:46pm
d