mutakhir

Harapan Sivarraajh 'berkecai'...

Oleh Murni Wan Omar

BEKAS Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk C Sivarraajh gagal mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan beliau bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Nordin Hassan menolak permohonan Sivarraajh kerana mendapati keputusan SPR adalah sah dan tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Mahkamah mendapati surat yang dikeluarkan SPR pada 28 Disember tahun lalu adalah tidak melanggar Seksyen 3(2)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan laporan yang dikeluarkan oleh Hakim Pilihan Raya sebelum ini.

“Keputusan SPR adalah mengikut undang-undang dan tiada sebarang isu ia tidak sah atau tidak wajar. Oleh itu mahkamah menolak permohonan ini dengan kos RM5,000,” katanya.

Sivarraajh diwakili peguam A Vasanthi yang mewakili Sivarraajh dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, Azizan Md Arshad dan S Narkunavathy mewakili SPR.

Dalam permohonan yang difailkan 31 Disember lalu, Sivarraajh memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keseluruhan keputusan SPR bahawa beliau tidak boleh bertanding atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya bagi tempoh lima tahun bermula dari 13 Disember 2018.

Beliau turut memohon perisytiharan bahawa laporan Hakim Pilihan Raya bertarikh 13 Disember 2018 adalah tidak sah kerana tidak mematuhi peruntukan Seksyen 37 (1)(a)(i) dan (ii) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 30 November tahun lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi ketika membuat keputusan itu memutuskan amalan rasuah terbukti sudah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Sivarraajh dalam pilihan raya itu, iaitu pemberian wang kepada pengundi untuk mendorong mereka mengundi BN.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 4:51pm
d