mutakhir

Dua anak 'disimbah' air panas [METROTV]

Oleh Siti Sofia Md Nasir

BAPA mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan dua anaknya melecur menggunakan air panas pada Disember lalu.

Tertuduh, Edy Noramin Ramli, 41, yang bekerja sebagai jurujual kad prabayar, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Bagaimanapun, Rosnee menetapkan kes itu disebut semula pada 12 Februari hadapan, bagi jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan pertama, Edy didakwa dengan niat mencederakan dengan cara menggunakan air panas sehingga melecur badan terhadap anak perempuannya yang berumur lapan tahun di Flat Kampung Melayu di Air Itam, antara jam 1 hingga 2 pagi, pada 28 Disember lalu.

Pada pertuduhan kedua pula, Edy didakwa melakukan perbuatan yang sama kepada anak lelakinya yang berumur sembilan tahun di tempat, waktu, dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan terbabit.

Rosnee kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan iaitu larangan mendekati mangsa.

Edy diwakili peguam Edmund Anthony Hermon manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yassinnisa Begam Seeni Mohideen.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 5:25pm
d