mutakhir

Umur masih panjang

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

BERPANTANG maut sebelum ajal. Itu situasi dihadapi seorang lelaki yang sempat keluar dari kenderaan yang terbakar dalam kemalangan di Jalan Serian-Sri Aman berhampiran Bukit Rasau, Serian, hari ini.

Kejadian jam 1 tengah hari itu berlaku selepas van Nissan Vannete dipandu lelaki berusia 61 tahun terbabit bertembung dengan sebuah Toyota Hilux.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.12 tengah hari sebelum sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serian dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, maklumat awal mendapati van dipandu mangsa hilang kawalan sebelum bertembung dengan pikap yang dinaiki suami isteri masing-masing berusia 48 tahun.

“Impak daripada pertembungan dua kenderaan itu menyebabkan van mangsa terbakar.

“Mangsa bagaimanapun sempat merangkak menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Dia berkata, suami isteri yang menaiki pikap juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Katanya, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut.

“Pasukan bomba menggunakan air dari jentera untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 5:31pm
d