mutakhir

'Kau langgar tembok istana kenapa?'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

LELAKI dipenjara tujuh bulan dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini, kerana memandu secara berbahaya semalam.

Tertuduh, Ko Yeek Puan, 22, membuat pengakuan itu sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Shahida Abd Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta Honda Civic secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain di Jalan Anak Bukit pada jam 5.30 pagi semalam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh dia ditangkap dan dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Prosiding kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Ahmad Shukri Saadun.

Difahamkan Ko sudah menjelaskan bayaran denda itu.

Dalam kejadian itu, kereta tertuduh remuk pada bahagian hadapan selepas hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tembok Istana Anak Bukit, di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, siasatan awal mendapati, kereta terbabit dipercayai dari arah pusat bandar menghala ke Kepala Batas dan terbabas di kaki lima hadapan kawasan istana.

Beliau berkata, disebabkan kenderaan itu dipandu pada kelajuan tinggi menyebabkan ia melanggar tembok hadapan istana hingga mengakibatkan hadapan kereta itu remuk.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 6:25pm
d