mutakhir

Jangan lari.....

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong digesa tidak lari daripada tanggungjawab untuk memulangkan semula dana sebanyak RM16.5 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa diterima parti itu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Ka Siong tidak boleh menggunakan helah atau cuba mengkritik kenyataannya sebelum ini semata-mata untuk lari dari tanggungjawab yang perlu dilangsaikannya.

Beliau berkata, Ka Siong sebagai presiden parti itu tidak sepatutnya lari dan mengambil tanggungjawab memulangkan semula wang yang didakwa diterima oleh parti itu daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Saya mewakili kerajaan bertanggungjawab untuk menuntut balik wang itu. Saya berharap MCA boleh pulangkan kembali wang berkenaan kepada kerajaan.

“Jangan guna helah, retorik atau kritikan untuk elak dan bersembunyi daripada tanggungjawab anda,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Selasa lalu, Guan Eng dalam sidang medianya menggesa MCA memulangkan semula dana sebanyak RM16.5 juta milik 1MDB yang didakwa diterima parti itu daripada kerajaan BN menjelang PRU-13.

Selain MCA, parti lain yang dikatakan menerima dana daripada 1MDB turut digesa untuk memulangkannya.

Berhubung gesaan Ka Siong supaya beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Guan Eng berkata, perkara itu sudah pun dalam siasatan.

“Mengapa saya perlu buat laporan kepada SPRM? Dia (Ka Siong) minta saya buat laporan kepada SPRM. Ini sudah disiasat oleh SPRM, jadi mereka yang akan buat kerja.

“Kerja saya adalah pastikan wang ini dapat dipulangkan,” katanya.

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 6:30pm
d